27 Ogos 2012

tak pantas

Hari demi hari kucoba melupakannya,
Tapi semuanya itu percuma.
Ku coba untuk menghapus kenangannya,
Tapi jawabannya tetap sama.
Apa yang harus ku lakukan?,
Jika dia tak bisa ku lupakan.
Apa yang harus ku korbankan?,
Demi melupakan dirinya seorang.
Aku hanya manusia biasa,
Yang tak akan pernah bisa mencinta.
Aku hanya sebuah bayang-bayang,
Yang tak akan pernah bisa untuk menyayang.
Kini aku pun mulai menyadari,
Aku hanya lelaki yang tak tahu diri.
Kini aku pun mulai merasa,
Aku memang lelaki yang tak pantas mencinta.

24 Ogos 2012

Kembali Kepada Al-Qur'an Dan As- Sunnah Beristiqamah dijalan sunnah Nabi S.A.W.


Ustaz Emran


Tahukah anda bahawa Islam yang anda fahami, ketahui dan amalkan selama ini ialah Islam yang berdasarkan tafsiran pihak tertentu ?


Pihak tertentu itu boleh jadi rasulullah, boleh jadi para sahabat dan boleh jadi juga ulama serta guru-guru yang menjadi rujukan kita di dalam agama.


Kita beragama berdasarkan tafsiran mereka.


Mari kita lihat sejarah penafsiran agama Islam ini sejak zaman awal.


RASULULLAH MENAFSIRKAN AGAMA ISLAM


Ini disebut oleh para sahabat seperti hadis riwayat Jabir ra yang mengisahkan perihal haji rasulullah dengan berkata yang bermaksud : “dan ketika itu Rasulullah berada di tengah-tengah kami, dan al-Quran diturunkan kepada baginda. Dialah yang mengetahui takwilnya. Apa-apa yang baginda lakukan, kami turut melakukannya..”(Hadis disepakati Bukhari no. 246 dan Muslim no. 2271, hadis ini panjang tetapi saya mengambil petikan yang berkaitan sahaja)


Jumlah ayat-ayat hukum di dalam Al-Quran tidaklah banyak jika kita mahu beramal hanya dengan berpandukan kepada Al-Quran tanpa merujuk tafsiran rasulullah ini disebabkan ayat-ayat sekitar hukum muamalat, hal peribadi, jinayat, keadilan dan persaksian hanya sekitar 200 ayat manakala bab jihad cuma sekitar 140 ayat.


Allah swt befirman yang bermaksud : “Dan Kami turunkan kepadamu Al Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan.” (Surah An-Nahl : 44)


Disebut di dalam ayat 44 Surah An-Nahl bahawa peranan rasulullah ialah untuk menerangkan dan itulah peranan utama Rasulullah disamping menyampaikan maka baginda juga bertanggungjawab mentafsirkan agama ini kepada orang ramai. Kita boleh melihat hadis-hadis yang mengandungi tunjuk ajar hukum berjumlah sekitar 4500 buah hadis seperti yang disebutkan oleh Al-Imam Ibnu Qayyim di dalam kitabnya I’lamul Muwaqi’in.


Di dalam sebuah hadis misalnya para sahabat bertanya kepada baginda mengenai lautan. Mereka mengharungi laut dan tidak membawa air tawar yang mencukupi untuk digunakan bagi mengambil wudhuk maka apakah mereka boleh berwudhuk dengan menggunakan air laut ?


Rasulullah bersabda : “Ya, Air laut itu boleh digunakan untuk bersuci serta halal bangkainya (hidupan laut adalah halal dimakan).” (Hadis sahih riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibnu Majah)


Para sahabat beragama dan melaksanakan kewajipan dan kehidupan sebagai seorang Muslim menurut tafsiran rasulullah salallahualaihiwasalam terhadap isi kandungan Al-Quran yang diturunkan oleh Allah swt.


Maka mereka yang mengikuti tafsiran rasulullah itu dijamin benar dan terjamin akan menerima balasan syurga disebabkan tafsiran rasulullah itu pastinya bertepatan dengan kehendak Allah swt di dalam beragama.


Allah swt befirman yang bermaksud : “Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru. Dan Tiadalah apa yang diucapkannya itu terjadi dengan menurut kemahuan hawa nafsunya. Sebaliknya ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (Surah An-Najm : 2-4)


“Apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka ambillah ia, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” (surah al Hasyr : ayat 7)


Fungsi sunnah ialah sebagai pentafsir dan penjelas kepada isi-isi kandungan Al-Quran sebagaimana disebut oleh baginda salallahualaihiwasalam yang bermaksud : “Bukankah aku ini diberikan Al-Quran kepadaku dan sesuatu yang menyerupainya (Sunnah).”(Hadis Sahih, riwayat Abu Daud no. 4604, lihat dalam Sahih Jami’ no. 2643)


Antara contoh-contoh tafsir dengan sunnah nabi salallahualaihiwasalam tertentu, atau wujud penerangan dari baginda pada maksud ayat tertentu yang boleh diketahui dengan merujuk pada hadis-hadis baginda dalam kitab hadis seperti Bukhari, Muslim dan lain-lain.


Riwayat dari Ibnu Mas’ud ketika turunnya ayat : “ Mereka yang beriman dan tidak mencampuri iman mereka dengan kezaliman.” (Surah Al-An’am : 82)


Maka para sahabat pun kehairanan bagaimana memakai (mencampuri) keimanan dengan kezaliman maka mereka pun bertanya kepada baginda lalu baginda pun menjawab dengan sabdanya : “Sesungguhnya yang dimaksudkan ialah Syirik.” (Hadis Sahih, riwayat Bukhari no.3560, lihat Fathul Bari Jilid 6, ms. 484 & Muslim no. 124)


Begitulah juga seperti dalam Surah Al-Kausar ketika ditanya kepada baginda apakah itu Al-Kausar maka baginda menjawab : “Al-Kausar itu ialah sungai yang diberikan oleh tuhanku di Syurga.” (Hadis Sahih, riwayat Muslim no.400 & Ahmad Jilid 3, no. 102)


Setelah kewafatan rasulullah siapakah yang mengajarkan manusia agama ? dan orang ramai beramal di dalam agama menurut tafsiran siapa ?


Apabila kewafatan rasulullah, tafsiran rasulullah telah dihafal dan diserapi oleh para sahabat melalui kehidupan mereka. Ini terbukti berdasarkan hadis Ibnu Mas’ud ra :“Sesungguhnya para sahabat ra jika belajar 10 ayat dari Al-Quran, maka tidaklah mereka meneruskan dengan ayat yang lainnya melainkan mereka terlebih dahulu telah mengetahui maknanya dan beramal dengannya.” (Sila lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir Jilid 1, ms. 15,).


Tafsiran sahabat diyakini oleh ulama Islam sebagai rujukan agama kerana merekalah generasi terbaik yang berada di samping baginda ketika turunnya wahyu daripada Allah swt.


Sebagaimana kata Abdullah bin Mas’ud ra : “ Demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya, tidaklah turun satu ayat pun di dalam Al-Quran melainkan aku tahu pada siapa diturunkan dan di mana diturunkan dan tidaklah aku mengetahui ada orang yang lebih alim tentang kitab Allah dari aku melainkan aku akan segera menunggangi kenderaan mendatanginya.” (Sila lihat Mukhtasar Tafsir Ibnu Katsir Jilid 1, ms. 15)


Pada zaman ini para sahabat berdepan dengan cabaran-cabaran baru dan umat Islam mula terdedah kepada pelbagai masalah. Namun kewujudan para sahabat menjadi penyelamat kepada keadaan ini.


Kemampuan mereka memahami Al- Quran dan memahami pertunjuknya menyebabkan umat Islam masih terpelihara dan mampu mengatasi masalah yang dihadapi.


Para ulama’ sahabat yang masyhur ialah Khalifah ar-rasyidin yang empat, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Zaid Ibnu Thabit, Abu Musa Al-asya’ari, Abdullah ibnu Zubair, Anas Ibnu Malik, Abdullah Ibnu Umar, Jabir ibnu Abdillah, Abdullah ibnu Amru bin Al-Ash, Ummul Mukminin Aishah dan ramai lagi yang tidak termuat di sini.


Mereka tidak menghadapi sebarang masalah dengan kefahaman mereka yang mendalam dan sikap mereka yang teguh serta tegas dalam mempertahankan sunnah menyebabkan masyarakat ketika itu masih mengikut Al-Quran dan As- Sunnah hasil didikan mereka.


Dalam menghadapi permasalahan para sahabat menjelaskan maksud-maksud Al-Quran kepada maksud asal yang di fahami oleh mereka berdasarkan penerangan dari rasulullah di samping menggunakan kekuatan bahasa arab yang mereka miliki untuk memahami ayat-ayat Allah.


Suasana ini berterusan hingga ke zaman anak-anak mereka iaitu tabien.


Para sahabat ra berusaha mendidik generasi anak-anak mereka dengan didikan yang sama yang mereka terima dari nabi salallahualaihiwasalam. Ketika ini kebanyakan para sahabat mempunyai madrasah dan mendidik generasi tabien dengan apa-apa yang mereka telah pelajari dari rasulullah.


Di antara Khalifah Ar-Rasyidun, yang paling banyak diambil ilmu darinya ialah Ali Ibnu Thalib ra, manakala yang lainnya agak kurang diambil riwayat dari mereka lantaran telah awal meninggal dunia.


Sebagaimana riwayat daripada Abi Tufail berkata aku menyaksikan Ali berkhutbah dan dia berkata : “Tanyalah aku dan demi Allah tidaklah kamu bertanya aku melainkan aku memberikan kepada kamu jawapannya. Bertanyalah kepada aku tentang kitab Allah dan demi Allah tiadalah sesuatu pada ayat Allah melainkan aku mengetahuinya.” (Al-Itqan Fi Ulum Quran, Jilid 3, ms. 479)


Begitulah juga pada sahabat-sahabat yang lain yang juga mengetahui isi-isi Al- Quran.


Di Kufah para sahabat yang mengajar antaranya ialah seperti Ali ra, Ibnu Mas’ud ra dan di Makkah ialah Ibnu Abbas ra, Abdullah Ibnu Umar ra dan di Madinah seperti Ubai Bin Ka’ab ra. (Al-Itqan Fi Ulum Quran, Jilid 2, ms. 183)


Ibnu Mas’ud banyak mengambil riwayat dan ilmu daripada Ali ra, dan kemudiannya dari Ibnu Mas’ud maka lahir madrasahnya yang mendidik tabien dan antara yang mengambil ilmu dari Ibnu Mas’ud ialah seperti Al-Qamah bin Qais, Abu Ali’yah, Dhahak, Qatadah dan Hasan Al-Basri.


Manakala di Makkah, Ibnu Abbas merupakan antara ulama’ sahabat yang tersohor dan masyhur serta menjadi tempat ramai tabien mengambil ilmu. Antara yang mengambil ilmu dari Ibnu Abbas ialah seperti Mujahid, Atho bin Rabih, Ikrimah, Sa’id bin Jubair dan Thowus bin Kaisan Al-Yamani.


Di Madinah pula yang mengajar terdiri dari Ubai bin Ka’ab ra dan lain-lain sahabat yang menetap di Madinah (golongan Ansar) yang darinya lahir Zaid bin Aslam dan ramai lagi ulama’ tabien. Demikianlah proses pewarisan ilmu dan kefahaman dari sahabat kepada tabien dan kemudiannya disambung oleh tabien sebagai pemegang amanah ilmu dan amal selepas kematian para sahabat ra.


ZAMAN TABIEN


Para tabien merupakan generasi ke –3 yang lahir selepas sahabat dalam sekitar tahun 150 Hijrah dan mereka merupakan pewaris ilmu dan peninggalan para sahabat dalam ilmu kefahaman dan amal.


Namun pada zaman para tabien disebabkan oleh perluasan wilayah dan ramainya golongan yang memeluk Islam dari pelbagai bangsa dan suku kaum menyebabkan Islam menghadapi masalah akibat kejahilan dan perpecahan yang melanda masyarakat ditambah peranan kaum munafiq dan yahudi yang secara diam-diam berusaha menghancurkan kekuatan Islam dari dalam.

Golongan tabien yang mengambil ilmu dari sahabat secara umum masih mampu menangani masalah walaupun ketika itu dalam sekitar pemerintahan akhir Bani Umaiyah dan awal pemerintahan Abasiyyah yang menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku yang membawa pertumpahan darah, perpecahan akibat politik dan fitnah serta munculnya golongan sesat seperti Khawarij, Syiah dan Qadariah serta Murjiah dan Muktazilah.


Namun Allah tetap menjaga umat ini dengan menetapkan bagi setiap umat ulama’ yang menjaga agama dan ketika itu ulama’ tabien yang mewarisi ilmu dari sahabat ialah seperti Sa’ad bin Jubair, Mujahid, Atho bin Rabih, Hasan Al-Basri, Qatadah, Zaid bin Aslam, Muhammad bin Ka’ab dan lain-lain ulama ummah yang merupakan pelita menerangi zaman.


Dari Fudhail yang telah menyebut aku mendengar dari Mujahid yang telah berkata : “Aku membaca Al-Quran kepada Ibnu Abbas sebanyak 3 kali dan aku berhenti pada setiap ayat dan bertanya tentang apa yang diturunkan dan bagaimana keadaannya.” (Al-Itqan Fi Ulum Quran Jilid 3, ms. 485)


Malah berkata Sufyan As-Sauri : “ Ambillah ilmu tafsir dari Sa’ad bin Jubair, Mujahid, Ikrimah dan Dha’hak.” (Lihat : Hilyatul Auliya’ Jilid 3, ms. 329)

Ketika ini ulama’ tabien bukan sahaja terpaksa berusaha memahami ayat Allah menurut maksud asal seperti yang difahami oleh para sahabat yang mengambil dari rasullullah sebaliknya terpaksa berusaha mendidik masyarakat dan memahamkan golongan baru Islam dengan apa yang diturunkan Allah di samping memberi pemahaman tentang situasi yang berlaku ketika itu yang tidak pernah menimpa para sahabat sebelumnya.


Kemasukan orang Ajam (bukan arab) ke dalam Islam , pembukaan kota-kota besar dan penaklukan dan perluasan wilayah Islam menyebabkan zaman tabien ketika itu terdedah kepada kemasukan pelbagai budaya dan pegangan asing yang cuba diserap masuk untuk dijadikan sebahagian dari ajaran Islam dan menyebabkan para tabien terpaksa berusaha keras memahamkan masyarakat akan ajaran Islam yang asli dan sebenar di samping membanteras kemasukan fahaman asing yang cuba dijadikan sebagai sebahagian dari Islam demi memelihara keaslian dan kesucian agama Islam.


Di Mekah ulama tabien yang membuka madrasah dan mengajar ialah seperti Atho bin Rabih, Mujahid dan lain-lain murid ibnu Abbas ra.


Manakala di Kufah pula dari murid Ibnu Mas’ud seperti Ibrahim An- Nakhaie’ dan Qatadah.


Di Basrah pula seperti Hasan Al-Basri.


Manakala Said bin Musayyib serta Salim bin Abdullah bin Umar pula di Madinah.


Selepas tamatnya zaman tabien dan di era pengakhiran zaman Bani Umaiyah serta memasuki zaman baru Bani Abbasiyyah maka telah wujud usaha dan proses membukukan hadis rasulullah dan tafsir. Seperti usaha membukukan tafsir oleh Sufyan bin Uyainah (meninggal 160 Hijrah), Waqi bin Jarah (meninggal 197 Hijrah), Syu’bah bin Hajjaj (meninggal 160 Hijrah), Yazid bin Harun (meninggal 117 Hijrah), Rauhah bin Ubadah (meninggal 205 Hijrah), malangnya tafsir mereka tidak sampai kepada kita sedikit pun melainkan kesan-kesan riwayat dalam periwayatan dari anak-anak murid mereka dan ulama’ terkemudian.


TAFSIRAN AGAMA DI ZAMAN HARI INI


Allah telah menurunkan Al-Quran kepada Rasulullah salallahualaihiwasalam sebagai panduan dan semenjak daripada itu pelbagai peristiwa dan perkara telah berlaku dan diberitahu akan terjadi sebagai ujian dan percubaan kepada hamba-hamba Allah untuk melihat siapakah yang beriman dan siapakah pula yang tidak.


Firman Allah yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan yang bersabar di antara kamu dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.” (Surah Muhammad : 31)


Agama Islam yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad terdedah kepada serangan dan pendustaan oleh mereka yang kafir dan menjadi ujian kepada hamba-hambanya yang beriman.


Firman Allah yang bermaksud : “Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya." (Surah As-Soff : 8)


PIHAK ORIENTALIS MENDAKWA RASULULLAH MENGARANG AL-QURAN


Tahukah anda bahawa sebahagian pengkaji barat yang dikenali sebagai pihak Orientalis telah mendustakan Islam dengan mendakwa rasulullah salallahualaihiwasalam telah mengarang Al-Quran dan ianya bukan daripada Allah swt.


Ini terpapar di dalam hasil tulisan mereka seperti pandangan George Sale pada abad ke 18 di dalam tulisan beliau The Preliminary Discourse to the Koran yang menyebut : “Bahawa Muhammad itu ialah benar-benar pengarang dan pereka utama Al-Quran yang tidak dapat disangkal .” (Lihat : Buku Al-Quran dan Orientalisme terjemahan oleh Dr Zakaria Stapa dan Mohamad Asin Dollah yang merujuk dari The Preliminary Discourse to the Koran, cetakan Landon, ms. 68)


H. Lammens juga di dalam Islam : Beliefs and Institutions mengatakan : “Al-Quran ialah hasil kerja Muhammad yang sejati dan professional.” (Lihat : Buku Al-Quran dan Orientalisme terjemahan oleh Dr Zakaria Stapa dan Mohamad Asin Dollah yang merujuk dari Islam : Beliefs and Institutions, ms. 38)


Kenapa mereka mengatakan sedemikian ?


Puncanya ialah kerana sebahagian daripada mereka enggan mengakui Islam sebagai agama yang benar disebabkan oleh kekufuran mereka yang terhasil daripada pelbagai sebab.


Boleh jadi kerana ego, sombong, bongkak dan malu mengakui kesilapan mereka dan enggan tunduk kepada agama ini yang mengakibatkan mereka terpaksa menolak cara hidup barat dan kehidupan kristian yang sudah sebati dengan hidup mereka dan mereka merasa selesa dengannya.



Ada pula di antara mereka yang menolak Islam dan Al-Quran kerana terjebak oleh disiplin ilmu yang disusun oleh guru-guru mereka di dalam gereja dan menafsirkan Islam sebagai agama yang salah, silap dan sesat daripada agama langit yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, Musa dan Isa alaihiassalam.


Tahukah anda pihak gereja menanamkan kebencian terhadap Islam kepada generasi kanak-kanak dengan memberikan mereka gambaran yang salah dan buruk terhadap Islam.


Kanak-kanak seperti ini berteraburan di Eropah yang membesar dengan memiliki pengetahuan terhadap Islam dengan tafsiran yang sangat buruk hasil didikan guru-guru mereka.


BANGSA ARAB JAHILIYYAH MENOLAK DAKWAH RASULULLAH


Tahukah anda bahawa dakwah rasulullah juga telah ditolak oleh kebanyakkan ahli keluarganya ?


Bapa saudaranya menentang dakwah baginda, kaum kerabat dan juga hampir seluruh kaum Quraisy yang merupakan kabilah baginda telah menolak seruan yang dibawa oleh baginda yang mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah swt dan menjauhi syirik.


Tidakkah anda mendapati ini suatu hal yang ganjil ? Bagi seorang manusia umum, perkara seperti ini tentu terdedah kepada tafsiran bahawa dakwah baginda tidak benar kerana usahanya ditentang oleh kaum kerabat baginda sendiri.


Diriwayatkan daripada Mujahid yang menyebut bahawa : Al-'Ashi bin Wa'il pernah berkata:"Aku membenci Muhammad." (Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi)


Ahli keluarga sendiri telah menolak dakwah tersebut maka sudah tentu ianya memberikan kesan kepada orang ramai untuk lebih tidak menyakini dan menerima seruan dakwah tersebut.


Bagaimanakah suku-suku kabilah arab yang lain mampu menerima seruan dakwah baginda sedangkan siang dan malam golongan kafir quraisy, ketua-ketua kabilah dan juga pembesar quraisy memburukkan dakwah dan peribadi baginda ?


Dalam suatu riwayat daripada Ibnu Abbas ra yang menyebutkan bahawa ketika Ka'ab Al Asyraf (tokoh Yahudi) pernah datang ke Mekah maka kaum Quraisy berkata kepadanya yang bermaksud : "Tuan adalah pemimpin orang Madinah, bagaimana pendapat tuan tentang si pendusta (merujuk nabi Muhammad ) yang diasingkan oleh kaumnya, yang mengangggap dirinya lebih mulia daripada kita padahal kita menyambut oramg-orang yang melaksanakan haji, pemberi minumnya serta penjaga Ka'bah?"


Ka'ab berkata: "Kalian lebih mulia daripadanya."

(Diriwayatkan oleh al-Bazazar dan yang lainnya dengan sanad yang sahih yang bersumber dari Ibnu Abbas.)


Bapa saudara baginda sendiri telah menolak dakwah rasulullah.


Kenapa hal ini terjadi ?


Tafsiran Islam yang salah yang dimiliki oleh majoriti masyarakat Arab hasil perbuatan dan kejahatan para pembesar Quraisy seperti bapa saudara baginda yang kafir yang memburuk-burukkan dakwah baginda dan menentang usaha rasulullah .


Kenapa masyarakat Arab sewaktu awalnya membenci Islam ?

Salah faham dan jahil tentang dakwah rasulullah

Hanya mendengar Islam daripada musuh-musuh Islam

Ta’asub dan enggan mendengar dan mempercayai kebenaran selain dari apa yang diberitahu oleh pembesar dan tokoh mereka


Ajaran Islam bercanggah dengan amalan nenek moyang dan mampu mengubah kehidupan mereka dan sebahagian besar manusia merasa berat untuk berubah


Dakwah rasulullah merugikan mereka dan menjejaskan kesenangan duniawi yang dikecapi oleh mereka


Ditipu dan diperdayakan oleh Syaitan


Cuba anda perhatikan bahawa telah berlalu hampir seribu tahun lebih jarak masa di antara kita dan rasulullah maka sudah pasti Islam yang sampai kepada kita telah melalui tempoh yang lama dan teruji oleh pelbagai ujian dan cubaan daripada pihak musuh untuk menyelewengkan Islam.

GOLONGAN SYIAH MUNCUL MENTAFSIRKAN ISLAM MENURUT KEHENDAK MEREKA


Apabila dilihat sejarah kemunculan syiah kita pasti akan terkejut kerana mendapati bahawa mereka juga mengakui mengikut Al-Quran dan sunnah tetapi di dalam bentuk yang bagaimana dan sunnah siapakah yang dijadikan ikutan mereka.


Mengapa Syiah berbeza kepercayaan mereka dengan kebanyakan kita ?


Jawapannya ialah juga kerana tafsiran.



Tafsiran Syiah terhadap Al-Quran dan as-sunnah telah menyebabkan mereka berbeza dengan sebahagian umat Islam yang lain.


Seorang ulama Syiah yang bernama Al-Kisyi meriwayatkan daripada Abu Ja’afar yang diriwayatkan berkata : “Sejak peninggalan nabi maka semua manusia (sahabat) menjadi murtad kecuali tiga orang.” Aku berkata : Siapakah mereka yang tiga orang itu ? Abu Ja’afar menjawab mereka ialah : “AlMiqdad bin Al-Aswad , Abu Dzar Al-Ghifari dan Salman Al-Farisi.”


Lalu dia berkata itulah maksud ayat Allah yang bermaksud : “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul.

Apakah jika Dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, Maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah Ali-Imran : 144)


Anda boleh melihat kenyataan tokoh Syiah ini di dalam kitab Rijal Al-Kisyi, halaman 12-13 dan pembacaan anda boleh dilanjutkan di dalam buku tulisan Syeikh Dr Ihsan Ilahi Zahir.


Tidakkah anda berasa risau bahawa perbezaan tafsiran boleh membuatkan anda berbeza di dalam agama dan pengamalan ?


Syiah misalnya menafsirkan ayat 9 Surah Al-Hijr yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Surah Al-Hijr : 9)


Bahawa Al-Quran ini sememangnya telah berubah dan dikurangkan tetapi yang dimaksudkan oleh Allah swt bahawa kami akan memeliharanya ialah memeliharanya di Lauf mahfuz. (Lihat : Mauizatu Tahrifi Al-Quran tulisan Sayyid Ali Al-Hairi Al-Lahuri ms. 48)


Dr Ihsan Ilahi juga menyebutkan bahawa seorang ulama Syiah yang bernama Ali Asyghar Al-Barjardi di dalam bukunya menyebut bahawa Al-Quran yang asli yang tidak diubah-suai dan terpelihara kini berada di tangan Imam (Al-Mahdi) adapun yang tersebar ialah Al-Quran yang sudah diubah suai dan dikurangkan. (Lihat : Aqaidu As-Syiah ms. 27)


Di dalam kitab Syiah bertajuk AL-Ihtijaj yang ditulis oleh At-Tibhrisi jelas menyebutkan bahawa Al-Quran itu telah diubah suai oleh para sahabat yang diketuai oleh Umar bin Khattab di halaman 76.


Anda akan menjadi seorang syiah jika membesar di dalam lingkungan syiah, persekitaran syiah dan merujuk serta mempelajari agama Islam berdasarkan tafsiran syiah.


Lalu apakah anda akan mencurigai agama Islam yang ditafsirkan oleh guru-guru anda ?

Tentu sekali tidak bukan ?


Kerana apabila persekitaran, wujud sokongan keluarga dan sahabat handai yang juga beraliran syiah maka tafsiran ini akan menjadi sebati di dalam hidup anda dan seterusnya akan menjadi darah daging dan keselesaan kepada anda.


Inilah yang kita sebutkan bahawa persekitaran membentuk pemikiran.


PENGARUH PERSEKITARAN DI DALAM MEMBENTUK PEMAHAMAN AGAMA


Persekitaran mempengaruhi agama dan kefahaman yang terbentuk, inilah yang menjadi perhatian kepada kita semua supaya mewujudkan persekitaran yang sihat dan bersifat positif di dalam mencari kebenaran.


Misalnya dengan siapa kita berkawan membantu membentuk pemikiran dan penafsiran terhadap agama dan mempengaruhi gaya berfikir dan bertindak balas di dalam urusan kehidupan.


Ini juga didapati di dalam sebuah hadis yang menyebut : “ Agama seseorang itu adalah berdasarkan agama rakannya maka hendaklah dilihat dengan siapa dia berkawan.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Abu Daud)


Allah swt befirman yang berMaksud: “ Barangsiapa yang mendapat pertunjuk maka sesungguhnya dia telah mendapat pertunjuk untuk dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu merugikan dirinya sendiri.” (Surah Al-Isra : 15)


Berkata Al-Imam Ibnu Katsir ra bahawa yang dimaksudkan dengan mendapat pertunjuk itu ialah mengikuti pertunjuk kebenaran agama dan jalan nubuwah (kenabian) dan darinya akan menghasilkan kebaikan kepada dirinya sendiri. (Lihat : Tafsir Al- Qur’an Al-Azim Jilid 2, ms. 457)


Persekitaran yang tertutup, jumud dan beku misalnya dipengaruhi oleh persekitaran suasana tempat tinggal, pergaulan dan sikap yang terdidik secara tidak sedar atau melalui pemerhatian dan pengalaman. Kanak-kanak yang membesar dengan suasana bermasalah lebih berpotensi membuat masalah daripada kanak-kanak yang membesar dengan suasana yang harmoni dan tenang.


Kerana itulah di dalam hadis Uqbah bin Amir ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda dengan maksud : “Tuhanmu merasa hairan terhadap para pemuda yang tidak terpengaruh oleh hawa nafsunya.” (Hadis Hasan, riwayat Ahmad no. 17371 dan Tibrani serta Abu Ya’la, dimaksudkan di dalam hadith dengan hairan ialah sebagai perumpamaan)


Demikianlah contoh bahawa orang yang dikota akan mempunyai peribadi dan sikap yang pasti berbeza dengan mereka yang berada di kampong dan pendalaman sehingga tidak mustahil tafsiran agama yang berlangsung di dalam majlis-majlis ilmu berubah dan berbeza disebabkan oleh pengaruh persekitaran.



Al-Imam Syafie ra sendiri pernah berfatwa dengan fatwa baru (qaul jaded) yang menyalahi fatwa lamanya (qaul qadim sewaktu di Iraq) setelah berpindah ke Mesir.


PERANAN GURU DI DALAM MEMBENTUK PEMIKIRAN ANDA TERHADAP AGAMA


Guru memainkan perana yang cukup penting di dalam membentuk pemikiran dan memberikan anda tafsiran terhadap agama. Semenjak kecil kita dijamu dengan pelbagai ilmu dan maklumat yang kesemuanya tidak semestinya benar tetapi maklumat inilah yang menjadi pegangan dan membentuk keyakinan kita terhadap sesuatu.


Kita mempercayai bahawa apabila terkena hujan maka kita akan demam.


Jadi oleh yang demikian setiap kali apabila hujan maka kita memakai payung atau sekurang-kurangnya menutup kepala agar tidak terkena demam.


Bagaimana jika hujan tidak memudharatkan ?


Guru agama menjadi penafsir agama dan merupakan orang yang bertanggungjawab menafsirkan dan menjelaskan hukum hakam agama kepada manusia.


Kata-kata mereka menjadi sandaran dan dianggap sebagai kata-kata agama.


Kenapa jadi begitu ?


Ini disebabkan kita tidak menguasai kemahiran yang dimiliki oleh mereka untuk mengetahui apakah yang dikehendaki oleh Allah swt dan rasul-Nya daripada Al-Quran dan As-sunnah.


Bagaimana jika tafsiran mereka tersilap ?


Maka ianya akan menyebabkan kita juga turut tersilap di dalam menuju kepada Allah swt.


Lalu bagaimana harus dilakukan ?


Jawapannya ialah hendaklah setiap manusia berusaha mencari hujah dan sandaran di dalam agama dan sekurang-kurangnya dia mengetahui bahawa setiap amalannya haruslah didasari kepada Al-Quran dan hadis rasulullah.


Disebut dalam pelbagai cerita mengenai kisah ketelitian ulama salaf terhadap ilmu dan tidak menerima ilmu dari sebarangan orang dengan mudah seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abi Hatim ra mengenai kisah Imam Yahya bin Ma’in yang datang bertemu dengan Musa bin Ismail untuk mendengar hadis maka berkatalah Musa apakah engkau belum mendengar hadis ini daripada sesiapa ? Lalu dijawab oleh Yahya bin Ma’in bahawa aku telah mendengar hadis ini dari tujuh belas orang dan engkaulah yang ke lapan belas. Lalu ditanya untuk apakah engkau menyusahkan diri membuat demikian dengan mendengar hadis yang sama dari guru yang berbeza ?


Lalu berkatalah Yahya bin Ma’in, "Sesungguhnya jika Hammad bin Sulaiman itu tersilap dalam hadisnya maka aku dapat membezakan kesilapannya itu dengan mendengar hadisnya dari pelbagai jalan dan guru (perawi), kerana jika silapnya itu pada Hammad maka akan didapati dengan semua guru (perawi) menyebut kesilapannya dan jika silap itu bukan dari Hammad maka pasti akan kelihatan kebenaran dengan guru yang silap akan terdedah oleh kesepakatan guru yang ramai." (Lihat : Al-Majruhin oleh Ibnu Hibban Jilid 1, ms. 32 ).


Maka kita harus mengerti bahawa setiap guru boleh tersalah dan tersilap dan untuk mendapat tafsiran yang terbaik dan paling mendekati kebenaran maka hendaklah kita berusaha memiliki seramai mungkin guru untuk membolehkan kita membuat penilaian dan mendengar sesuatu maklumat atau informasi dari pelbagai sudut dan arah sehingga membolehkan kita mengetahui keseluruhan cerita dengan lebih tepat.


Telah diriwayatkan bahawa Khalifah Ali bin Abi Tolib ra pernah ditegur di dalam sesuatu masalah oleh seorang lelaki dengan berkata bukan demikian wahai Amirul Mukminin dan menerangkan jawapannya kepada Ali.


Maka berkata Ali bin Abi Tolib ra : “Engkau benar dan aku tersalah, di atas setiap alim itu akan terdapat seorang yang lebih alim.” (Jami Bayan Al-Ilm wa Fadhlihi Jilid 1, ms. 262)


Jumlah guru yang ramai tidak sahaja menunjukkan tahap keilmuan tetapi juga menjadi kayu ukur di dalam usaha mencari kebenaran. Apabila dilihat dan diambil pengajaran di dalam kisah-kisah ulama salaf maka kita akan mendapati bagaimana mereka berusaha mencari ilmu dan mendapatkan pengetahuan daripada pelbagai ulama untuk membolehkan mereka menguasai dan memahami ilmu tersebut.



Ini kerana setiap orang yang alim itu pasti akan ada orang yang lebih alim daripadanya sehingga usaha menuntut ilmu tidak wajar berhenti.


Hal ini disebutkan oleh Abdullah ibnu Umar yang berkata : “Sesungguhnya seseorang lelaki itu tidaklah dilahirkan sebagai seorang yang alim tetapi dia menjadi alim dengan belajar.” (Riwayat Ahmad di dalam kitabnya Az-Zahid ms. 162, Ibnu Abi Syaibah dan Baihaqi dengan rijal yang siqah)


Seorang guru pastinya mempunyai ilmu pengetahuan yang terhad maka oleh yang demikian jika seorang murid hanya melazimi seorang guru maka ilmu pengetahuan yang dimiliki olehnya juga pasti menjadi terhad jadi adalah digalakkan di dalam Islam untuk mempelajari ilmu pengetahuan dan berusaha sebanyak mungkin untuk mengambil ilmu daripada ulama dengan jumlah yang ramai.


Berkata Imam Ahmad bin Hanbal ra tentang Imam Syafie ra : “Sesungguhnya Allah memberi nikmat kepada kami melaluinya dan telah kami pelajari ilmu dari sesuatu kaum dan menulis ilmu dari mereka sehinggalah munculnya As-Syafie kepada kami dan setelah kami mendengar ilmu darinya maka tahulah kami bahawa dia itu lebih alim dari orang selainnya dan kami duduk bersamanya pagi dan petang tidaklah kami menemui darinya selain kebaikan.” (sila lihat Tarikh Islam oleh Ad-dzahabi ms. 334).



Imam Syafie ra mengambil ilmu dari Sufyan bin Uyainah ra dan Muslim bin Khalid Az-Zanji serta Said bin Salim dan Daud bin Abd Rahman, Abd Majid bin Abd Aziz bin Abi Daud dan mereka ini semuanya merupakan gurunya di Makkah.



Manakala gurunya di Madinah ialah Imam Malik bin Anas ra, serta Ibrahim bin Said Al-ansori, Abd Aziz bin Muhammad Ad-Darawardi dan Abdullah ibn Nafi’.



Adapun Syeikh dan guru Imam Syafie di Yaman ialah Mutharif bin Mazan, Hisyam bin Yusof (Qadhi San’a) , Amru bin Abi Salamah (sahabat Imam Auzaie) dan Yahya bin Hasan (sahabat Imam Laits Bin Said).


Manakala gurunya dari Iraq pula ialah seperti Waqi’ bin Jarrah ra, Hammad bin Usamah dan Ismail bin Aliyah serta Abd Wahab bin Abd Majid dan Muhammad bin Hassan.

Sebenarnya ramai lagi guru-guru Imam Syafie dan ini menunjukkan kepada kita bahawa di waktu beliau masih muda banyak masa dihabiskan dengan mengembara mencari ilmu dan pengetahuan.


Ini menunjukkan teladan kepada kita bahawa berguru dengan ramai ulama itu adalah penting bagi membolehkan kita mencari kebenaran dan mendapatkan tafsiran agama yang paling mendekati kebenaran.


Kenapa Imam Syafie tidak berpuas hati dengan Imam Malik bin Anas sahaja sewaktu mempelajari ilmu dengannya di usia muda dahulu ? Beliau juga telah menghafaz kitab Al-Muwatho karya Imam Malik ra ketika umurnya 10 tahun dan mula belajar di sisi Imam Malik ketika umurnya 13 tahun sebelum keluar mengembara mencari ilmu dengan ulama yang lain.


Bukankah ini menjadi bukti bahawa kita tidak boleh bersikap ta’asub dan cepat merasa puas dengan seorang guru ?


Ini diperlukan bagi mengelak Islam tafsiran guru kita daripada mengawal pemikiran dan agama kita.


Islam yang benar ialah tafsiran Rasulullah dan para sahabat yang disebut dengan faham ahlul sunnah Wal Jamaah.



Tafsiran yang benar ialah seperti apa yang disebutkan di dalam Kitab Aqidah Tahawiyah yang bermaksud : “Tafsiran yang sahih ialah apa yang bertepatan dengan Al-Quran dan As-sunnah dan apa yang berdalilkan nas-nas manakala apa yang bercanggah dengan dalil nas maka ianya merupakan tafsiran yang salah.” (Syarah Aqidah Tahawiyah, ms. 215)


Caranya ialah menguasai Kitab Allah dan sunnah rasulullah dengan sebaik mungkin dan berusaha mengkaji fahaman dan pegangan para sahabat ra dan ulama-ulama yang menetap di atas kefahaman ahlul sunnah di dalam memahami agama Islam ini.


Sabda rasulullah dengan maksudnya : “ Sesungguhnya ulama’ itu pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan harta tetapi mereka mewariskan ilmu.” ( Hadis Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah) .


Bahkan Imam Abu Ishak As-Syatibi ra telah memperingatkan umat Islam akan hakikat ini dengan menyebutkan di dalam kitabnya dengan bermaksud : “ Sesungguhnya yang menjadi sebab utama bid’ah dan pertikaian yang membawa kepada perpecahan umat dan malapetaka ialah seseorang mempercayai dirinya ialah seorang mujtahid atau termasuk ahlul ilmi wal ijtihad dalam ilmu agama sedangkan hakikatnya dirinya belumlah mencapai tahap itu.


Maka apabila dia beramal dengan pendapatnya maka dianggap pendapatnya ialah sebagai pendapat ulama dan khilafnya sebagai khilaf ulama lalu baik hal itu berlaku di dalam hal yang furu (cabang) atau hal yang mendasar dan usul baik iktikad dan amaliyah sehingga seringkali dia mengambil sesetengah hal yang juz’iyah atau furu’iyah (cabang) dari syariat lalu diruntuhkan hal yang kulliyat atau usul dengannya atau sebaliknya sehinggalah jadi apa yang zahir itu sepintas lalu seolah menepati makna tetapi hakikatnya tidak mencapai maksud syarak maka inilah dia seorang tukang pembuat bid’ah.” (Lihat : Al-Itishom jilid 2, ms. 173)


PEMBACAAN HARUS MENYELURUH


Pembacaan membawa faedah dan pengetahuan tetapi hendaklah pembacaan itu dicapai dengan menyeluruh dan sebanyak yang mungkin. Jika ilmu seseorang dinilai berdasarkan buku-buku yang dibacanya maka sudah pasti orang yang paling banyak membaca ialah orang yang paling berilmu.


Budaya membaca sememangnya digalakkan di dalam Al-Quran berdasarkan firman Allah yang bermaksud : “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan.”(Surah Al-Alaq : 1)

Dari Abu Umamah ra yang berkata: “Saya mendengar Rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda: “Bacalah Al-Quran itu kerana ia akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)


Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin pernah ditanya tentang mempelajari ilmu daripada kitab dan beliau membolehkan kita belajar ilmu daripada buku dan kebanyakkan para ulama menyeru supaya para pemuda dan pemudi membanyakkan masa membaca buku dan membuat rujukan agama agar beroleh manfaat di dalam kehidupan mereka.


Maka pembacaan yang meluas diperlukan untuk membantu usaha mencari kebenaran dan membuat tafsiran yang terbaik terhadap agama ini tanpa diselaputi gejala ta’asub kepada sesuatu tafsiran agama.


Masalah ta’asub sudah lama merebak dan menjadi virus yang mendaging dalam jasad umat Islam sejak zaman berzaman. Pelbagai ubat yang dibawa oleh para ulama untuk menghilangkan virus ini akhirnya berubah menjadi virus baru yang terus beranak- pinak.


Firman Allah yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu berdiri kerana Allah, menjadi saksi dengan keadilan. Janganlah kerana kebencianmu terhadap satu kaum, sehingga membuatkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat kepada taqwa dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Maidah : 8).


Ta’asub muncul daripada kelemahan ilmu manusia yang seterusnya membawa kepada perasaan lemah dan rendah diri serta mengkagumi seseorang atau fahaman tertentu sebagai agung dan mulia. Sikap ini membawa kepada ketaatan dan kepatuhan tanpa perintah terhadap peribadi orang yang dikagumi atau dihormati.


Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam sekalipun sebagai seorang rasul utusan Allah dan merupakan hamba Allah yang paling mulia melarang umat-Nya dari memiliki sikap ghulu (melampau) dan ta’asub terhadap baginda.


Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ra bahawa baginda rasulullah bersabda : “ Berhati-hatilah kamu daripada ghulu (melampau) dalam agama kerana sesungguhnya orang sebelum kamu telah dihancurkan disebabkan sikap melampau mereka dalam agama.” (Hadis riwayat Ahmad dan lain-lain).


Firman Allah swt yang bermaksud : “ Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama, Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah Faathir : 28).


Para ahli ilmu menyebutkan bahawa dimaksudkan ulama itu ialah mereka yang memiliki perasaan takut kepada Allah swt dan disebabkan itulah mereka mendapat kedudukan sebagai ulama dari ilmu yang dimiliki membawa mereka menuju kepada takut kepada Allah swt lalu menghasilkan ketaatan.


Sehingga para ulama menyebutkan orang yang paling banyak berfatwa di kalangan kamu ialah orang yang paling berani masuk ke dalam neraka lantaran disebabkan banyak berfatwa mendedahkan dirinya kepada pelbagai kesalahan dan juga tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul dari keputusannya kerana melibatkan kehidupan dan pengaruh kepada orang lain.


Utbah bin Muslim pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah berkawan dengan sahabat yang bernama Ibnu Umar ra (Abdullah Ibnu Umar ra) selama tiga puluh empat bulan dan seringkali ketika beliau ditanya dengan sesuatu persoalan maka djawab oleh beliau dengan berkata : “Aku tidak tahu”.


Demikian juga Ibnu Abi Laila ra yang menyebutkan aku pernah melihat seratus dua puluh lebih para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam dari kalangan Ansar yang apabila ditanyakan dengan sesuatu permasalahan agama maka dia menyerahkan kepada yang lain sehingga sahabat yang lain itu menyerahkan kepada yang lain sehingga seringkali persoalan itu kembali kepada sahabat yang pertama ditanyakan tadi.


Alangkah baiknya nasihat Al-Fadhil Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah Al-Fauzan yang menasihati para pemuda di dalam kitabnya dengan mengatakan : “Ikutilah haq (kebenaran) itu walau siapa pun dia dan janganlah mengikuti manusia nanti kamu akan menyalahi kebenaran.” (Menjawab Persoalan-persoalan Baru ms. 149).


Berkata Al-Auzaie ra : “ Kami mengikuti sunnah daripada sumbernya.” ( lihat Syarh Sunnah oleh Al-Lalikaie).



Berkata Ibnu Abbas ra : “ Aku berasa bimbang diturunkan ke atas kamu batu daripada langit apabila aku mengatakan Allah swt berfirman sekian maka kamu bahkan mengatakan telah berkata Abu Bakar dan Umar sekian dan sekian.” (Lihat : Di dalam Musnad Ahmad

Jilid 1, no. 337 dan disahihkan isnadnya oleh Syeikh Ahmad Syakir ra).


MENGENALI TAFSIRAN AGAMA ISLAM YANG BENAR


Tafsiran Islam yang terbaik dan paling sempurna ialah apa yang ditafsirkan oleh rasulullah kepada para sahabat baginda radiallahuanhum.


Tafsiran itu namanya Sunnah !



Ianya disebut sebagai sunnah di dalam bahasa arab yang bermaksud : “ Jalan atau teladan yang ditinggalkan oleh rasulullah kepada umat-Nya baik melalui ucapan baginda, perbuatan atau taqrir (pembenaran) baginda. “ (Qawaid Fil Bayan Hakikatul Iman Indal Ahlul Sunnah Wal Jamaah, ms.22)


Imam Ibnu Rejab (Abd Rahman bin Ahmad, meninggal 795 Hijrah) menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan sunnah itu ialah : “Jalan yang dilalui oleh nabi salallahualaihiwasalam dan para sahabatnya yang selamat daripada syubhat dan syahwat.” (Kasyfu Al-Kurbah Fi Washfi Hal Ahli Gurbah, ms. 15)


Maksud sunnah ini pelbagai namun semuanya merujuk kepada makna yang satu iaitu tafsiran rasulullah terhadap agama ini yang perlu menjadi teladan dan ikutan kita di dalam memahami agama.


Malangnya tafsiran ini semakin lama semakin menjauh daripada kita kerana perbezaan jangka masa dan waktu yang jauh di antara kita dan rasulullah yang mencapai seribu tahun lebih. Menafsirkan Al-Quran dengan tafsiran rasulullah dan memahami Islam dengan kefahaman rasulullah ialah merupakan hikmah dan pertunjuk kebenaran.


Inilah yang disebut di dalam Al-Quran dengan bermaksud : “Sesungguhnya Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang sangat banyak.” (Surah Al-Baqarah : 269)


Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim dari riwayat Ibnu Abi Talhah dari Ibnu Abbas ra dalam menafsirkan ayat ini dengan berkata : “ Diberikan hikmah” itu bermaksud mengenal Al-Quran, memahaminya serta mengetahui nasakh dan mansukh, ayat-ayat muhkamat dan mutasyabihat, mengetahui yang awal dan yang akhir diturunkan serta mengetahui halal dan haram dan yang berkaitan dengannya.” (Sila lihat Al-Itqan Fi Ulum Quran, Jilid 3, ms. 452)


MEMPEROLEHI SUMBER TAFSIRAN-TAFSIRAN RASULULLAH TERHADAP AGAMA


Tafsiran rasulullah terhadap agama ini boleh ditemui di dalam kitab-kitab tulisan para ulama ahlul sunnah wal jamaah di zaman salaf yang berusaha memelihara agama ini dengan sebaik-baiknya sehingga ke generasi hari ini melalui tulisan-tulisan mereka.


Sebenarnya hadis atau tafsiran rasulullah di zaman baginda berperanan sebagai pertunjuk yang diam dan senyap kepada manusia. Ini kerana wujud perintah baginda salallahualaiwasalam secara tegas melarang penulisan hadis dan sunnah seperti sabdanya : “Janganlah kamu menulis sesuatu yang kamu terima daripada aku selain Al-Qur’an.


Barangsiapa yang menulis apa yang diterimanya dari aku selain Al-Qur’an hendaklah memadamkannya tetapi tidak mengapa kamu cukup menyampaikan apa yang kamu dengar daripada aku (tanpa menulisnya) dan barangsiapa yang sengaja berdusta ke atas aku maka hendaklah bersedia dengan tempat duduknya di neraka.” (hadis sahih riwayat Muslim).


Tafsiran Rasulullah terhadap agama iaitu hadis-hadis baginda mula dihimpunkan ketika era Khalifah Umar Ibn Aziz ra dari Bani Umaiyah yang menjadi khalifah selama 2 tahun lebih dari tanggal 99 Hijrah sehingga 101 Hijrah.


Arahan pengumpulan hadis dan membukukannya dimulakan oleh beliau kepada Gabenor Madinah pada waktu itu yang bernama Abu Bakr bin Muhamad ibn Amr ibn Hazm (wafat 117 Hijrah) dan turut sama memerintahkannya supaya menuliskan hadis dari seorang tabien wanita yang bernama Amrah Binti Abd Rahman ra dengan katanya : “Tuliskan kepada aku hadis baginda rasulullah yang ada padamu dan dari hadis riwayat oleh Amrah binti Abd Rahman sebab aku takut akan hilang dan hancurnya ilmu.”(Riwayat Ad-Darimy).


Maka atas perintah khalifah maka dikumpulkanlah hadis baik yang dipunyai oleh beliau serta dari tabien wanita itu yang banyak meriwayatkan dari ummul Mukminah Aisyah ra serta beliau (Ibnu Hazm) turut juga mengarahkan Ibnu Syihab Az-Zuhri seorang ulama besar Hijjaz (wafat 124 Hijrah) untuk membantu pengumpulan hadis rasulullah salallahualaihiwasalam.


Sebenarnya larangan penulisan hadis di zaman rasulullah ialah tidak berlaku secara mutlak bahkan dalam sebahagian keadaan baginda pernah membenarkan para sahabat tertentu menulis hadis dari baginda seperti dari riwayat Abu Hurairah ra bahawa selepas peristiwa pembukaan kota Mekah maka telah datang seorang lelaki dari Yaman yang bernama Abu Syah yang meminta baginda rasulullah menuliskan hadis untuknya lalu dijawab oleh baginda rasul dengan bermaksud : “Tulislah kamu sekalian untuknya.”(hadis sahih riwayat Bukhari dan Abu Daud no. 3649).


Disebut oleh para ulama’ bahawa keizinan menulis hadis yang diberikan kepada sesetengah sahabat ialah disebabkan mereka mempunyai kemahiran menulis dan kemampuan untuk menjaganya sehingga tidak sampai tercampur aduknya Al-Qur’an.


CONTOH NASKHAH TULISAN HADIS PARA SAHABAT

Naskah Abdullah bin Amr Al-Ash ra ini disebut naskah As-Sahifah Sadiqah kerana ianya ditulis langsung dari baginda rasul dan merupakan yang terjamin benarnya dan mengandungi lebih kurang 1000 hadis yang kemudiannya dipelihara dan dijagai oleh keturunannya dan cucunya Amr bin Syuaib disebut telah meriwayatkan 500 hadis darinya.


Sungguhpun tidak sampai kepada kita naskah As-Sahifah As-Sadiqah ini kepada kita namun hadis-hadis di dalamnya dapat diperolehi melalui kitab-kitab hadis yang lain seperti Musnad Ahmad, Sunan Abu Daud, Sunan An-Nasaie , sunan At-Tirmidzi dan sunan Ibnu Majah.(Lihat : Kitab As-Sunnah Qabla Tadwin oleh Muhammad Ajjai Al-Khatib untuk maklumat lanjut).


Demikianlah juga pada sahabat lain seperti Jabir bin Abdullah Al-Ansori ra yang juga menulis hadis baginda sehingga naskah tulisannya dinamai Sahifah Jabir dan Qatadah bin Da’amah As-Sudusy memuji naskah ini dengan katanya aku menghafaz sahifah ini lebih dari hafalan ku pada surah Al-Baqarah.


Di antara tabie yang mempunyai naskah al-hadis ini ialah Humam bin Munabbih (40 H-131 H) yang merupakan tabien yang banyak mengambil hadis dari sahabat seperti Abu Hurairah ra yang kemudiannya mengumpulkan hadis tersebut dalam satu tulisan naskah yang disebut As-Sahifah As-Sahihah dan disebut di dalamnya memiliki 138 hadis dan kemudiannya semua hadis di dalamnya diriwayatkan oleh Imam Ahmad ra secara keseluruhan ke dalam musnadnya dan di ambil sebahagian hadisnya oleh Imam Bukhari ra.


Namun permasalahan penulisan hadis ini ke dalam kitab dan naskah khas hanya dibuat secara persendirian dan sehinggalah ke zaman Khalifah Umar bin Abd Aziz ra barulah urusan pembukuan hadis di jalankan secara serius ini disebabkan setelah berlakunya zaman fitnah dan pembunuhan, lahirnya puak Khawarij dan Syiah semenjak zaman sahabat dan beberapa puak sesat yang mendorong para ulamak dan muslihin Islam memikirkan jalan untuk menyelamatkan hadis baginda dengan mengumpulkan hadis yang sahih sahaja dan memperkenalkan ilmu isnad atau disebut mustalahah (disiplin ilmu hadis di dalam menerima dan menolak hadis yang tidak benar daripada nabi).


Arahan pelaksanaan membukukan hadis itu dilaksanakan oleh Ibnu Syihab Az-Zuhri maka disebut bahawa beliaulah yang pertama mengumpulkan hadis secara tersusun.


Pada zaman khalifah Abbasiyah muncul pula golongan ulama seperti Ibnu Juraij (150 H) yang mengumpulkan hadis di Makkah, Abu Ishaq (151 H) dan Imam Malik (179 H) yang mengumpulkan hadis di Madinah, Ar-Rabi bin Syabih (160 H) , Hammad bin Salamah (176 H) yang mengumpulkan hadis di Basrah dan Sufyan As-Sauri (116) di Kufah serta Al-Auzaie (156 H) yang mengumpulkan di Syam dan lain-lainnya yang nyatanya kebanyakkan mereka pernah berguru kepada Ibnu Hazm dan Imam Az-Zuhri.


MENYEMAK TAFSIRAN RASULULLAH TERHADAP AGAMA


Manakala selain menumpukan pada usaha menghimpunkan hadis para ulama’ juga mula meneliti hadis- hadis yang sampai kepada mereka dan perawi-perawi yang meriwayatkan hadis.


Mereka mula meneliti siapakah perawi hadis (pembawa berita tentang hadis itu, keadaan dan sifat peribadinya, kaedah menerima dan menyampaikan hadisnya, tarikh lahir dan kematiannya, perawi yang meriwayatkan darinya dan yang diriwayatkan olehnya dan pelbagai lagi demi menjaga kesahihan dan kebenaran hadis itu dari kepalsuan).


Demikianlah yang disebut oleh Sufyan As-Sauri ra bahawa “Para Malaikat menjaga langit dan para ulamak hadis menjaga dunia dari kepalsuan.”


Bahkan sebenarnya kaedah ini iaitu meneliti hadis bermula sejak zaman sahabat ra lagi iaitu seperti yang terdapat dalam kisah Abu Bakar ra pada masalah pewarisan iaitu telah datang seorang nenek tua kepada Abu Bakar ra meminta hak bahagian warisnya lalu berkatalah Abu Bakar ra : "Sesungguhnya aku tidak mendapati padamu akan sesuatu dari kitab Allah dan tidaklah aku mengetahuinya wujud pula pada sunnah rasulullah lalu pulanglah sehingga aku bertanya orang lain”.


Maka bertanyalah beliau kepada sahabat yang lain lalu berkatalah Al-Mughirah bin Syubah ra bahawa “Aku menghadiri majlis baginda rasulullah dan baginda memberikan seperenam kepada yang sepertinya.” lalu berkata Abu Bakar ra apakah ada orang lain yang hadir selain kamu ? Maka berdirilah Muhammad bin Maslamah Al-Ansori dan berkata seperti demikian lalu diterimalah oleh Abu Bakar ra Tafsiran Agama daripada rasulullah itu selepas mendapati ianya benar daripada nabi dan memberikan nenek itu seperenam. (Lihat : Muwatha no 576 dan Abu Daud no 2894, Tirmidzi no 2101 dan Ibnu Majah).


Demikianlah terpeliharanya sunnah dan dijagai serta diwarisi ilmu ketelitian hadis yang merupakan tafsiran agama oleh rasulullah dan sunnah ini dipelihara pula oleh para sahabat kepada tabien dan mereka iaitu tabien seperti Said bin Musayyib ra (93 H) , Amir bin Syarhabil (104 H), Muhammad bin Sirin (110 H), Al-A’masy (148 H).


Apabila berlakunya fitnah dan pembohongan serta dusta yang berganda kepada sunnah disebabkan ramai manusia mahu mendakwa bahawa tafsiran mereka di dalam agama ialah berasaskan tafsiran rasulullah maka berganda dan bergigih jugalah para ulama’ dalam meneliti dan mengetatkan syarat penerimaan hadis dan melakukan penelitian kepada perawi hadis serta sanadnya (rangkaian perawi-perawi hadis tersebut).


Kalangan tabi’ tabien yang berguru kepada tabien seperti Ma’amar bin Rasyad (153 H), Syu’bah bin Hajjaj (160 H), Sufyan As-Sauri (161H) , Malik bin Anas ( 179 H) mereka ini merupakan tabi tabien yang menjadi pewaris dari tabien dan menulis serta meneliti ilmu jarah wal ta’dil serta mengkaji hal ehwal rawi dan halnya serta menghukumkan mereka (pembawa hadis) dalam soal penerimaan hadis apakah perkhabaran dan hadis yang dibawa oleh mereka diterima atau ditolak.


Kemudian selepas berlalunya mereka maka datanglah generasi Abdullah ibin Mubarak (181 H), Yahya bin Sa’id Al-Qathan (189 H) , Sufyan bin Uyainah (197 H) yang mewarisi ilmu dan menguasai sunnah dari penipuan.


Kemudian muncul kurun ketiga iaitu zaman Abu Daud At-Thiyalisi (204H) , Yazid bin harun (206 H), Abd Razak bin Humam ( 211 H), Abu Asim Al-Nabil ( 212 H), Yahya bin Yahya Naisaburi (226H) dan Abu Walid At-Tiyalisi (271 H).


Selepas zaman mereka ini maka lahirlah zaman penulisan khusus dalam masalah ilmu rawi dan rijal serta munculnya ilmu jarah wal ta’dil secara terperinci yang mengkhususkan bahagian tertentu dalam ilmu rijal.

Seperti Muhammad ibn Said pengarang kitab Tabaqat (230 H), Yahya bin Ma’in pengarang kitab Tarikh ( 233 H), Ali bin Madini pengarang kitab I’lal ( 234 H), Ahmad bin Hambal pengarang kitab Musnad dan I’lal (241 H), Muhammad bin Ismail pengarang kitab As-Sahih dan Tawarikh ( 256) , Muslim bin Hajjaj Al-Qusairi pengarang kitab Tabaqat dan sahih (261 H), Ad-Darisi pengarang kitab As-Su’alat (255H), Abi Zar’ah pengarang kitab Ad-dua’fa ( 264 H), Abi Hatim Muhamamd bin Idris ar-razi pengarang kitab I’lal (277 H), Abi Daud (375 H) dan lain-lain.


Demikianlah juga pada zaman selepas itu apabila muncul zaman kurun ke empat iaitu pada zaman Abd Rahman An-Nasaie ( 303 H), Abu Basyar Muhammad bin Ahmad bin Hammad (310 H), Abu Ja’far Muhammad bin Amru (322 H), Abd Malik bin Muhammad bin Adi ( 323 H), Abu Muhammad Abd Rahman Abi Hatim (327 H), Muhammad bin Hibban ( 354 H) dan lain-lain di kalangan ulama sezaman mereka.


Secara kesimpulan sesungguhnya ilmu sunnah yang berkembang melalui perkembangan zaman dan diwarisi oleh ulama sebelumnya kepada ulama selepasnya menjaga keaslian sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam dengan berpandukan kepada ilmu isnad dan riwayat yang dikenali sebagai ilmu rijal atau jarh wal ta’dil yang semua ini dikumpulkan dalam ilmu yang disebut mustalahah hadis.


TAFSIRAN AGAMA OLEH RASULULLAH TERPELIHARA SEHINGGA KE AKHIR ZAMAN OLEH USAHA GIGIH PARA ULAMA


Para ulama merupakan golongan yang mempertahankan agama dan tafsiran rasulullah ini daripada menyeleweng dan dipalsukan dan mereka berusaha memastikan sumber tafsiran rasulullah tetap terpelihara sehingga ke akhir zaman.


Inilah yang disebutkan di dalam hadis sahih yang cukup banyak di antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Muawiyah ra bahawa baginda rasulullah pernah bersabda dengan maksudnya : “Tidak akan hilang daripada umat ini sekumpulan manusia yang menegakkan agama Allah dan tidaklah memudharatkan mereka sedikit pun walaupun ada orang yang mendustakan mereka dan menentang mereka sehinggalah datang ketentuan Allah dan mereka tetap dalam keadaan demikian.”(Hadis Sahih riwayat Bukhari no. 3641 dan Muslim no. 4932)


Al-Imam Bukhari menafsirkan mereka ini ialah ahli ilmu manakala Al-Imam Ahmad bin Hmbal pula mengatakan mereka ini ialah Ahli Hadis (golongan yang mempertahankan tafsiran rasulullah terhadap agama dan menetap di atas tafsiran agama oleh rasulullah) dan demikian itulah pendapat paling tepat. (Lihat : Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi, Jilid 13, ms. 68)


Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah : “Ahlul Sunnah Wal Jamaah (golongan yang berpegang kepada tafsiran rasulullah dan memelihara tafsiran tersebut) bukanlah golongan yang baru sebaliknya mereka dikenali sebelum Allah menjadikan Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad bin Hambal sebaliknya golongan yang berpegang kepada tafsiran rasulullah ini terdiri daripada sahabat yang mengambil ilmu daripada nabi dan orang yang menyelisihi mereka ialah pembuat bid’ah di sisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah.” (Lihat : Minhaj As-Sunnah An-Nabawiyah Jilid 2, ms. 482.)


Imam Muslim meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Muhammad bin Sirrin ra(seorang ulama tabien) yang berkata : “ Tidaklah manusia di zaman dahulu bertanya tentang isnad (perawi hadis) namun apabila telah berlaku fitnah, maka mereka mula bertanya : “Sebutkan kepada kami perawi-perawi kamu dan apabila dilihat yang meriwayatkan hadis itu ialah ahli sunnah maka diterima hadisnya dan apabila yang meriwayatkan hadis (membawa tafsiran rasulullah) itu ialah ahli bid’ah maka tidak diambil hadis (tafsiran rasulullah terhadap agama) daripada mereka.” (Muqadimah Sahih Muslim Jilid 1dan Tirmidzi di dalam Kitab Ilal ms. 890)


Para ulama gigih mengumpulkan hadis dan bermusafir sepanjang usia mereka bagi mengumpulkan ilmu dan tafsiran-tafsiran agama oleh rasulullah yang disebutkan sebagai hadis atau sunnah.


Jasa mereka inilah yang menyebabkan umat Islam selepasnya dipermudahkan untuk merujuk dan memahami agama Islam ini dengan membaca dan mengambil istinbat kefahaman untuk beramal di dalam agama.


Antara contoh mereka ialah Al-Imam Bukhari ra (Muhammad bin Ismail) yang terkenal dengan kitab hadis sahihnya yang berjudul Jami As-Sahih.


Imam Ibnu Solah dalam muqadimah-nya menyebutkan, bahawa jumlah hadis di dalam kitab Sahih Bukhari ialah sebanyak 7275 buah hadis, termasuk hadis-hadis yang disebutnya secara berulang atau sebanyak 4000 buah hadis tanpa pengulangan. Perhitungan ini turut dipersetujui oleh Imam An-Nawawi di dalam Kitabnya At-Taqrib.

Demikianlah sehingga terputusnya mata rantai ilmu pada zaman mutakhir ini apabila para umat Islam secara umum sudah tidak mengenal lagi tafsiran rasulullah terhadap agama lantaran kejahilan dan tidak pernah berusaha untuk mencari tafsiran agama yang sahih.


Sufyan Ats-Tsauri ada mengatakan : "Jika sampai (khabar) kepadamu tentang seseorang di arah timur ada pendukung sunnah dan yang lainnya di arah barat maka kirimkanlah salam kepadanya dan do'akanlah mereka. Alangkah sedikitnya Ahlul Sunnah wal Jama'ah". (Diriwayatkan oleh Al-Lalika'i dalam Syarhus Sunnah Jilid 1, ms. 64 dan Ibnul Jauzi dalamTalbisul Iblis ms.9 )


Para ulama menjadi pelita ummah yang menerangi kegelapan dengan ilmu tanpa mereka akan tersesatlah manusia apabila beragama berdasarkan tafsiran yang salah atau tidak berpandukan kepada tafsiran rasulullah.


Di samping memelihara tafsiran rasulullah dan menyampaikan tafsiran rasulullah mereka juga turut menjelaskan maksud kepada tafsiran-tafsiran rasululla ini disebabkan sememangnya merupakan fitrah agama ini yang bersesuaian dengan setiap zaman dan keadaan maka tafsiran-tafsiran rasulullah juga merupakan mukjizat ilmu yang boleh disesuaikan dengan setiap keadaan dan zaman.


MEMAHAMI TAFSIRAN RASULULLAH TERHADAP AGAMA


Memiliki tafsiran-tafsiran rasulullah terhadap agama sahaja adalah tidak mencukupi atau kurang membawa erti jika orang yang memilikinya tidak memahami dan tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan atau dikehendaki oleh rasulullah ? Penjelasan rasulullah itu merujuk kepada apa dan siapa ?


Sejauh manakah penjelasan rasulullah itu berkuat kuasa dan apakah ia mempunyai had dan khusus kepada batasan tertentu atau merujuk kepada keadaan umum di dalam semua situasi ?


Hal ini difahami secara umum oleh masyarakat di zaman awal Islam apabila rasulullah bersabda dengan bermaksud : "Hendaklah orang-orang yang hadir mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang mendengarnya kemudian lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang hadir mendengarnya daripadaku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba hamba-Mu."(Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir (2/240), Sunan Abu Daud 1825 dan disampaikan oleh Rasulullah Sallahualaihi wasallam dalam sabda baginda di dalam khutbah hajjatul wada’, di Lembah Uraynah, Bukit Arafah)


Mengambil iktibar hadis yang bermaksud : "Moga-moga yang tidak hadir apabila mendengar ucapanku akan lebih memahaminya daripada mereka yang hadir."Membawa maksud bahawa tidak semestinya orang yang memiliki tafsiran rasulullah di dalam dadanya atau hafalannya akan memahami apakah yang dimaksudkan oleh baginda rasulullah salallahualaihiwasalam.


KAEDAH MEMAHAMI TAFSIRAN RASULULLAH


Memahami tafsiran rasulullah memerlukan kepada kekuatan ilmu dan kemahiran di dalam berurusan dengan sunnah dan ilmu sekitarnya.


Mengikut apa yang disebut di dalam Kitab Khulasoh Tarikh Al –Tasyri’ Al-Islami, Prof Dr. Abd Wahab Khallaf, ms. 92-98.


Ianya dapat diringkaskan kepada tiga bahagian iaitu :


PERTAMA : ILMU BERKAIT PENERIMAAN AS-SUNNAH


Penerimaan sunnah tidak dilakukan sewenang-wenangnya sebaliknya haruslah melalui tapisan yang ketat berasaskan disiplin ilmu hadis. Sebahagian ulama hadis akan membuat penilaian dan mereka akan menentukan kesahihan dan kelemahan sesuatu hadis serta apakah ianya diterima sebagai tafsiran yang sahih daripada rasululkah terhadap agama atau dikelaskan sebagai hadis yang tertolak.


Di bahagian yang pertama ini sahaja kita akan menyaksikan berlaku perselisihan para ulama di dalam mensahihkan atau mendhaifkan sesebuah hadis.


Ini boleh sahaja berlaku apabila hadis yang sampai kepada sebahagian ulama ialah sahih kerana memenuhi sebab-sebab hadis yang sahih seperti perawinya adil, sempurna ingatan, sanadnya bersambung serta tiada kecacatan hadis dan tiada pula syaz padanya manakala matan hadis yang sama menjadi tertolak dan tidak sahih kepada sebahagian ulama yang lain kerana hadisnya mengandungi perawi yang bermasalah, sanad hadisnya tidak bersambung dan semacam hal yang boleh terjadi.


Kadang-kadang terjadi perselisihan di dalam soal penerimaan dan penolakkan hadis ialah kerana ketidak sepakatan ulama hadis di dalam hukum ke atas perawi hadis. Ada ulama yang menerima sebahagian perawi dan mensahihkan hadis yang dibawa olehnya dan sebahagian ulama yang lain pula menolak hadis-hadis yang dibawa olehnya kerana mendhaifkannya dan hal ini pelbagai.


Setelah berlaku penghukuman ke atas hadis dan sesebuah hadis itu telah diklasifikasikan kepada mutawatir atau ahad maka kita akan melihat pula sekali lagi para ulama berselisih di dalam pengambilan hadis.


Imam Abu Hanifah ra (Nu’man bin Sabit, meninggal 150 Hijrah) misalnya hanya berhujah dengan hadis mutawatir dan hadis yang menduduki darjah masyhur sahaja serta diriwayatkan oleh ahli feqah.


Manakala Imam Malik ra ( Malik bin Anas, meninggal 179 Hijrah) pula berpegang kepada hadis-hadis yang dipegang oleh alim ulama Madinah dan meninggalkan hadis-hadis Ahad yang didapati mereka bertentangan dengan amalan ahli Madinah.


Sedangkan Imam Syafie dan selainnya tidak menetapkan wujudnya keadaan istimewa kepada ahli Madinah sehingga mereka beramal dengan hadis ahad sekalipun bertentangan dengan amalan ahli Madinah.



KEDUA : MEMBINA KEFAHAMAN DAN ISTINBAT HUKUM DARIPADA HADIS


Para ulama berselisih pendapat di dalam persoalan mengambil istinbat hukum daripada hadis dan hal ini terjadi disebabkan ada di antara mereka yang berpegang kepada lafaz zahir berdasarkan kaedah “Al-Asl Baqa’ al-Lughah” (Asal sesuatu itu ialah menetap pada maksud bahasa) dengan memahami hadis rasulullah berdasarkan maksud bahasa arab yang difahami secara umum tanpa mengkhususkan ianya pada makna tertentu.


Sebahagian ulama yang lain berpendapat hadis tersebut membawa maksud khusus yang tidak terikat kepada maksud umum bahasa Arab lalu menyempitkan maksud dan lingkungan hukumnya atau sebahagian ulama berpendapat hadis tersebut tidak mengandungi wajhu dilalah (ciri-ciri penghujahan) yang dapat dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum manakala ulama yang lain berpendapat hadis itu mengandungi hukum.


Ada sebahagian ulama menerima dalil mukhalafah (hujah daripada maksud yang berlawanan) dan sebahagian ulama pula telah menolaknya dan demikian perselisihan melibat soal mutlak dan muqayyad, zohir dan mu’awwal, nasakh dan mansukh serta lain-lain.


Kadang-kadang wujud dalil yang kelihatan berselisih dan membawa percanggahan yang menghasilkan perbezaan pendapat di kalangan ulama misalnya hadis berkait soal tayammum. Menurut Mazhab Imam Ahmad bahawa tayammum dilakukan kepada muka dan tapak tangan dengan sekali usapan kerana berhujah dengan sebuah hadis riwayat Ammar bin Yasir yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam Sahihnya serta Muslim. Bahkan Imam Ahmad dan Abu Daud juga mengeluarkan hadis yang menyebut bahawa baginda bersabda dengan bermaksud : “Tayammum itu satu usapan untuk muka dan kedua tangan.”


Sedangkan mazhab Imam Abu Hanifah, Maliki dan Syafie ra berpendapat tayammum itu haruslah dilakukan dengan dua kali usapan iaitu sekali di wajah dan sekali lagi untuk kedua belah tangan berdasarkan hadis riwayat Ibnu Umar ra dan Abi Umamah ra yang menyebutkan bahawa baginda nabi pernah bersabda : “Tayammum itu dua kali usapan iaitu kepada wajah dan kepada kedua belah tangan sehingga ke siku.” (Lihat Syarah Al-Muhazab Jilid 2 ms. 228)


KETIGA: PELAKSANAAN HUKUM DAN AMAL MENURUT KEHENDAK SYARAK


Para ulama Islam terdahulu memahami maksud syarak dengan kefahaman dan hasil penelitian mereka yang berkualiti terhadap kitab Allah dan sunnah rasulullah sehingga mereka memahami maksud dan kehendak daripada tafsiran agama yang dibawakan oleh Rasulullah.


Maksud syarak ini disebut sebagai maqasid syariah yang membincangkan persoalan tuntutan dan hikmah di sebalik penghukuman dan apa-apa yang terbit hasil tafsiran agama oleh rasulullah.


Ini boleh dilihat berdasarkan hadis dari Ibnu Abbas ra yang menyebut ketika Nabi salallahualaihiwasalam berkhutbah, seorang lelaki berdiri, dan nabi bertanya mengenainya. Lalu seseorang berkata: “Ini adalah Abu Israil bernazar untuk terus berdiri di bawah terik matahari, tidak mahu duduk, tidak mahu berteduh, tidak mahu bercakap dan terus berpuasa.”



Maka baginda Nabi salallahualaihiwasalam bersadba: “Suruhlah dia bercakap, berteduh, duduk dan teruskan menyelesaikan puasanya.” (Hadis riwayat Bukhari)


Para ulama menyebutkan bahawa tujuan Syarak ialah untuk memelihara Agama, Nyawa, Akal, Maruah dan Harta maka oleh yang demikian tiada hukum agama atau amal perbuatan di dalam Islam yang mencerobohi atau membahayakan agama, nyawa, maruah, akal dan harta melainkan ianya tertolak kecuali ada perintah dan hukum yang khusus padanya seperti arahan jihad, hukum hudud dan qisas yang dibenarkan mengambil nyawa atau harta dengan hak agama serta untuk memelihara agama.


Uqbah bin Amir ra menyebutkan dengan katanya : “Saudara perempuanku telah bernazar untuk berjalan kaki ke Baitullah, lalu dia menyuruh aku untuk meminta fatwa daripada Rasulullah salallahualaihiwasalam dan aku pun meminta fatwa daripada baginda, maka baginda bersabda : “Musafirlah dan menungganglah.”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Berpuasa nazar ialah wajib ditunaikan tetapi ianya tidak harus sampai membahayakan nyawa, badan, akal dan dirinya sendiri demikianlah maksud dan hikmah tafsiran agama yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam.


Maqasid Syarak ialah tujuan-tujuan syarak, yang merangkumi tujuan-tujuan umum syarak dan tujuan-tujuan khusus sesuatu sistem syarak dan tujuan setiap perintah , larangan dan perbuatan Allah swt secara khusus.


Dr. `Ilal Al-Fasi mentakrifkan maqasid al Syari`ah sebagai: “ Matlamat daripada pensyariatan dan rahsia-rahsia yang dikehendaki oleh syarak pada setiap hukum-hukumnya.” (Lihat : Maqasid Al-Syaria`ah al-Islamiyah wa makarimuha, hal.4)


Allah swt befirman yang bermaksud : “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu ( dari tiada kepada ada ) sahaja dengan tiada sebarang hikmat ( dan tujuan ) pada ciptaan itu? Dan kamu menyangka pula tidak akan dikembalikan kepada kami.” (Surah Al-Mukminun : 115)

Kenapa rasulullah mengehendaki demikian ?


Apa yang baginda mahu ?


Apakah maksud sebenar disebalik arahan ini dan sebagainya mula dikaji dan dilihat oleh ulama-ulama Islam di dalam menunaikan arahan-arahan dan tuntutan agama ke atas diri mereka. Melaluinya barulah mereka mendapati hikmah Islam ini dan kelebihan agama ini berbanding ajaran-ajaran lainnya yang tersebar banyak di atas muka bumi.


Allah swt befirman yang bermaksud : “Tidaklah Allah meletakkan tanggungjawab pada seseorang melainkan dengan sekadar dengan kemampuannya.” (Al-Baqarah : 286).


Dan sabda baginda salallahualaihiwasalam : “ Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu urusan maka hendaklah kamu memenuhinya semampu kamu.”(Hadis sahih, riwayat bukhari dan Muslim no. 3199).


Dr. Abd Karim Zaidan pernah berpesan dengan katanya: "Amalan soleh ialah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah. Apa yang sahih itu ialah yang menepati syarak, maka membuat bid’ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah."


Bid’ah itu lebih buruk daripada maksiat.


Ini kerana bid’ah itu mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai

cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahan.


Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu rasulullah salallahualaihiwasalam telah memberikan amaran mengenai bid’ah dengan sabdanya yang bermaksud : "Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah, dan setiap yang bid’ah di dalam neraka".


Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada-pada dengannya.” (Lihat : Usul Al-Dakwah, ms. 41)


Oleh yang demikian maka para ulama menetapkan kaedah bahawa syarat penerimaan amalan itu haruslah menepati dua keadaan iaitu IKhlas kerana Allah swt dan juga haruslah setiap pelaksanaan amalan itu diusahakan untuk menepati sunnah dan tafsiran rasulullah salalalahualaihiwasalam dan yang dimaksudkan oleh menepati tafsiran rasulullah ini ialah mencapai maksud dan kehendak Syarak kerana itulah yang sebenarnya dikehendaki oleh baginda.


Ini dibuktikan berdasarkan hadis yang menyebut perihal baginda mengarahkan para sahabat menyerang perkampungan Yahudi Bani Quraizah yang khianat kepada Madinah, maka baginda bersabda dengan bermaksud: “Janganlah seorang pun kalangan kamu yang solat Asar melainkan di kampung Bani Quraizah.”


Apabila masuk waktu Asar sedangkan mereka belum pun tiba di kampung tersebut maka para sahabat berbincang tentang maksud hadis nabi. Sebahagian mereka berkata; kita tidak akan solat melainkan di sana meskipun waktu Asar sudah berakhir.



Sebahagian lagi berpendapat bukan itu maksud nabi. Malah maksud nabi ialah agar mempercepatkan perjalanan hingga dapat ditunaikan solat Asar di sana.


Justeru apabila kita tidak sempat sampai ke sana dalam waktu Asar, maka solat Asar perlu didirikan terlebih dahulu. Apabila dimaklumkan kepada Nabi kemudiannya, baginda tidak menyalahkan mana-mana pihak sekalipun para sahabat terbahagi kepada dua golongan di dalam memahami maksud baginda. ( Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)



Maka para ulama kemudian membuat kesimpulan bahawa tafsiran yang benar terhadap agama ialah berpandukan kepada tafsiran rasulullah salallahualaihiwasalam dan kaedah pelaksanaan tafsiran tersebut diberikan kelonggaran dan diserahkan kepada para ulama dan umatnya yang alim untuk memahami maksud dan kehendak syarak supaya setiap amalan tersebut terpenuhi tuntutan yang dikehendaki daripadanya.

Berkata Fudhail Ibn Iyad ra : “Hendaklah kamu ikhlas dan benar dalam beramal, ikhlas apabila kamu beramal hanya kerana Allah dan benar apabila amalan kamu itu menepati pertunjuk sunnah”.


Sesungguhnya sunnah itu berperanan sebagai penerang dan penjelas bagi Al-Qur’an di samping sebagai pertunjuk yang sahih selepas Al-Qur’an. Mereka yang beramal di dalam Islam dengan mementingkan perihal tuntutan syarak ialah golongan yang mahukan amalan mereka diredhai oleh Allah dan rasul-Nya.


Kerana itulah pada kitab Al-Faqih Wal Mutafaqih oleh Imam Khatib al-Baghdadi ra menyebutkan bahawa Imam Syafie ra pernah menyebut : "Tidak halal bagi seseorang itu memberikan fatwa dalam agama kecuali mereka yang mengetahui tentang kitab Allah baik nasakh dan mansukhnya, muhkamat dan mutasyabihat, ta’wil dan penurunannya, makkiyah dan madaniyah dan lain-lain serta juga menguasai hadis seperti mana perlunya dia menguasai Al-Qur’an, mahir bahasa arab dan juga mahir ilmu usul dan kemahiran yang berkaitan." (Lihat: Al-Faqih Wal-Mutafaqih dan I’lamul Muwaqi’in oleh Imam Ibn Qayyim Jilid 1, ms. 45)


Kesimpulannya hendaklah manusia memerhatikan daripada siapakah dia mengambil ilmu agama dan hendaklah berusaha memastikan


Ali bin Abi Thalib ra pernah berkata : " Lihatlah dari mana kamu mengambil ilmu kerana ilmu adalah agama.” (Lihat : Al Khatib Al Baghdadi, dalam At Tankil, ms. 121).


Islam anda tafsiran Siapa moga ianya terjawab.